25 September 2008

Majlis Berbuka Puasa

Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato` Suhaili Abdul Rahman sempat mengadakan majlis berbuka puasa di kediaman beliau, selasa lepas.

Majlis tersebut dihadiri oleh pihak pengurusan dan staf -staf Perbadanan Labuan, ketua - ketua kampung, ketua - ketua cawangan UMNO labuan, dan beberapa pemimpin setempat. Majlis tersebut diakhiri dengan sembahyang Isya` dan Terawih berjemaah.

Labuan Kini difahamkan YB Datuk Yussof juga ada membuat majlis yang sama sehari sebelumnya. Mohd Rafi (calon Ketua Pemuda UMNO) juga dikhabarkan mengadakan majlis sama petang ini (khamis). Namun Labuan Kini tidak dapat membuat tinjauan pada kedua - dua majlis tersebut atas sebab tiada jemputan.

23 September 2008

Ketua Kampung Sungai Keling Kekal

Labuan Kini difahamkan K.K. Ronnie Tan akan kekal mentadbir Kampung Sungai Keling selaku Ketua Kampung. Difahamkan beliau berkemungkinan akan keluar dari parti SAPP, namun tidak pasti sama ada beliau akan menyertai parti komponen yang lain, atau menyertai parti baru yang mungkin akan ditubuhkan oleh bekas ahli - ahli parti SAPP yang lain yang bertindak keluar parti selepas SAPP mengumumkan keluar dari BN

Walau bagaimanapun, jawatan Ahli Majlis Penasihat yang disandang beliau sejak Februari lepas masih kabur, berikutan jawatan itu sebelum ini diperuntukkan kepada SAPP, ketika masih dalam BN.

K.K. Ronnie Tan dilihat ada membuat perjumpaan dengan Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato` Suhaili semalam, namun agenda yang dibincangkan tidak dapat disahkan Labuan Kini. Ianya berkemungkinan berkaitan dengan jawatan Ketua Kampung dan Ahli Majlis Penasihat yang disandang beliau ketika ini, dimana kedua - duanya adalah atas lantikan dari Perbadanan Labuan selaku PBT Labuan.

(gambar : Ketua -Ketua Kampung bergambar dengan pihak pengurusan Perbadanan Labuan, dan Menteri Wilayah Persekutuan. )

18 September 2008

UPDATE : Mesyuarat UMNO Labuan 3

Labuan Kini difahamkan bahawa dua cawangan di Labuan diarahkan untuk bermesyuarat semula. Dua cawangan tersebut, Ganggarak dan Patau - Patau 1 diarahkan untuk bermesyuarat atas sebab - sebab;

1. Patau - Patau 1 - Ketua Cawangan tidak dimaklumkan bahawa mesyuarat peringkat cawangan diadakan dan ketiadaan pihak atau wakil dari bahagian untuk mengesahkan mesyuarat.

2. Ganggarak - Notis mesyuarat dikeluarkan kurang dari tujuh hari sebelum mesyuarat diadakan, korum tidak cukup ketika mesyuarat diadakan, dan mesyuarat diadakan ditempat awam.

Pihak UMNO Bahagian Labuan menegaskan bahawa mesyuarat yang telah diadakan oleh kedua - dua cawangan tersebut tidak sah, dan diminta untuk mengadakan mesyuarat semula. Pihak Labuan Kini tidak dapat maklumat bila mesyuarat semula akan diadakan, namun ada ura -ura mengatakan ianya  berkemungkinan akan diadakan pada hujung minggu ini.

17 September 2008

SAPP Keluar BN, Apa Nasib Ronnie Tan?

Sabah Progressive Party (SAPP) hari ini mengumumkan untuk keluar BN, dan bertindak sebagai pembangkang bebas dalam parlimen, dan Dewan Undangan Negeri Sabah. SAPP juga bertegas tidak akan masuk dalam Pakatan Rakyat.

Bagaimana nasib K.K. Ronnie Tan, selaku Ketua SAPP Labuan, yang juga merupakan Ketua Kampung Sungai Keling? Beliau juga memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan sejak Februari lepas.

Labuan Kini tidak dapat menghubungi beliau, dan berharap dapat merakamkan komen beliau mengenai situasi semasa. Antara pertanyaan yang menghantui warga Labuan kini, khususnya warga Kampung Sungai Keling, adakah beliau akan kekal sebagai Ketua Kampung? Bagaimana dengan jawatan beliau selaku Ahli Majlis Penasihat PL? Adakah beliau akan kekal dalam SAPP atau melompat parti masuk semula ke BN (melalui parti - parti komponen BN yang lain).

K.K. Ronnie Tan adalah seorang yang dedikasi dengan tugas - tugas yang diberikan, sama ada sebagai Ketua Kampung mahupun Ketua Parti (SAPP). Sungai Keling juga merupakan kubu kuat BN dalam PRU12 yang lepas, begitu juga PRU11 pada 2004 dibawah kepimpinan beliau. Jika beliau bertindak mengikuti keputusan parti keluar BN dan melepaskan semua jawatan, kehilangan beliau di Labuan akan amat dirasai, terutama sekali penduduk Sungai Keling sendiri.

16 September 2008

RUMUSAN : Mesyuarat UMNO Labuan












Kesemua UMNO Cawangan Labuan sudah selesai mengadakan mesyuarat empat peringkat, dengan memperlihatkan 24 cawangan sempurna bermesyuarat dan 6 digantung atas beberapa alasan (tidak mematuhi peraturan perlembagaan, protes, bantahan dan sebagainya).

Mesyuarat UMNO Bahagian Labuan yang dijadualkan berlangsung Oktober ini akan menyaksikan beberapa jawatan dipertandingkan, dimana penyandang Ketua Bahagian, Dato` Suhaili akan dicabar YB Datuk Yussof Mahal, Pemuda Labuan pula menyaksikan perlawanan antara Hj. Tony Noolan dan Mohd. Rafi, dimana jawatan Ketua Pemuda Labuan dikosongkan oleh Hj. Bashir Bin Hj. Alias atas faktor umur. Puteri dan Wanita UMNO menyaksikan tiada pertandingan di peringkat Bahagian.

Tidak kira siapa yang akan menerajui UMNO Bahagian Labuan, mengikut rancangan awal Labuan akan mencalonkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Wira Ali Rustam dan Datuk Ahmad Zahid Hamidi sebagai Naib Presiden. 

Pemuda Labuan pula berkemungkinan akan mencalonkan Datuk Mukhriz Tun Mahathir sebagai Ketua Pemuda UMNO.

Jika tiada perubahan di peringkat atasan, Wanita Labuan juga akan mencalonkan penyandang Ketua Wanita UMNO sekarang, Tan Sri Rafidah Aziz kekal dengan jawatannya dan begitu pula dengan Timbalannya, Datuk Seri Sharizat Jalil.

Labuan Kini tidak sempat bertanya dengan Puteri UMNO Labuan siapa yang dicalonkan sebagai Ketua Puteri UMNO, oleh itu Labuan Kini tidak dapat membuat pengesahan.

Tambahan : Puteri UMNO Bahagian Labuan mengesahkan mereka akan bertindak mencalonkan YBhg Datin Ismalina Ismail sebagai Ketua Puteri UMNO Malaysia

13 September 2008

UPDATE: Mesyuarat UMNO Labuan 2

Hari ini 3 lagi cawangan UMNO di Labuan dijadualkan mengadakan mesyuarat, Layang - Layangan yang sempurna mengadakan mesyuarat siang tadi menyaksikan YB Datuk Yussof Mahal memperolehi satu lagi pencalonan. Bukit Kallam terpaksa menangguhkan mesyuaratnya disebabkan ada kematian di kampung tersebut dan dijadualkan bermesyuarat semula malam ini. Cawangan Kilan, yang merupakan home branch untuk YB Datuk Yussof Mahal juga dijadualkan bermesyuarat pada malam ini.

Dato` Suhaili hanya akan merasmikan mesyuarat cawangan Bukit Kallam kerana beliau terpaksa bergegas pergi ke Kuala Lumpur atas urusan keluarga.

Labuan Kini juga difahamkan ada segelintir wakil dari Bahagian Labuan akan berlepas ke Kuala Lumpur esok untuk berjumpa dengan Kepimpinan atasan UMNO untuk menerangkan keadaan sebenar yang terjadi di Bahagian Labuan. Difahamkan  sebahagian dari cawangan - cawangan yang diprotes juga akan menghantar wakil ke Kuala Lumpur, juga untuk menerangkan keadaan sebenar di cawangan - cawangan mereka kepada ibu pejabat UMNO.

Ini difahamkan tercetus kerana kumpulan yang berpihak kepada YB Datuk Yussof tidak mengikuti saluran yang disediakan oleh Bahagian untuk menyalurkan bantahan atau protes, sebaliknya terus menghantar bantahan - bantahan mereka ke ibu pejabat UMNO.

Terkini, seperti dilaporkan di New Sabah Times hari ini, Cawangan Durian Tunjung bertegas mengatakan mesyuarat yang mereka adakan minggu lepas adalah sah, walaupun pihak Bahagian menegaskan sebaliknya kerana ketiadaan wakil dari Bahagian untuk mengikuti perjalanan mesyuarat dan mengesahkannya.

Cawangan Ganggarak yang dijadualkan bermesyuarat esok juga dijangka akan menghadapi masalah kerana gagal untuk mendapatkan permit polis untuk mengadakan mesyuarat.

Labuan Kini juga ingin mengucapkan tahniah kepada Puteri UMNO Labuan yang sempat mengadakan mensyuarat di Bukit Kallam, dan sekali lagi menyaksikan Ketua Puteri UMNO Labuan, Pn. Rahimah menang tanpa dicabar.

TERKINI : Ketiga - tiga cawangan yang bermesyuarat hari ini mencalonkan YB Datuk Yussof Mahal, seperti dalam jangkaan Labuan Kini. Keputusan terkini menyaksikan Dato` Suhaili masih mendapat 18 pencalonan dan pencabarnya YB Datuk Yussof Mahal mendapat 6 pencalonan, ini bermakna akan ada pertandingan untuk merebut jawatan Ketua UMNO Labuan pada mesyuarat Bahagian yang dijangka berlangsung Oktober ini.

12 September 2008

Majlis Bersama Menteri

Menteri Wilayah Persekutuan, Dato` Seri Zulhasnan Rafique kini berada di Labuan sempena Majlis Berbuka Puasa di Perumahan Rumah Murah Rancha - Rancha petang ini. Dato` juga sempat menghulurkan sumbangan kepada beberapa penduduk fakir miskin setempat dimajlis berkenaan.

Beliau dijangka berlepas pulang ke Kuala Lumpur Sabtu ini.

Antara yang turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato` Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Dato` Hj. Bakaruddin Othman, CEO Perbadanan Labuan, Datuk Basiran Saban dan beberapa pemimpin - pemimpin tempatan Labuan.

Ramadhan Al-Mubarak 2

Ramadhan sudah melalui hari ke - 11, dan memperlihatkan rakyat Labuan begitu prihatin terhadap bulan yang mulia ini. Isu politik tidak panas kedengaran, seperti bulan - bulan lepas, masyarakat bukan Islam menghormati masyarakat Islam dengan tidak makan dikhalayak ramai, baazar - baazar Ramadhan masih meriah, dikunjungi bukan sahaja masyarakat Islam, malah bukan Islam juga berbelanja, menjamu selera masing - masing. 

Antara gerai -gerai yang sesak dikunjungi ialah gerai kebab dan kiosk minuman di Baazar belakang Wisma Perbadanan, Kedai menjual kuih di Lajau dan gerai cendol di Tg. Aru. Lorong ikan panggang, dan ayam golek juga tidak kurang dengan pengunjungnya, sanggup menunggu walaupun terpaksa dikerumuni asap dari gerai - gerai yang ada di kiri kanan.

Walaupun masih terlalu awal, namun ada kedengaran sesetengah kedai di Ujana Kewangan dan stesen -stesen minyak yang sudah mula mendendangkan lagu - lagu raya, bertujuan bukan untuk menghina bulan Ramadhan, cuma untuk memeriahkan suasana.

UPDATE: Mesyuarat UMNO Labuan

Hampir 80% cawangan - cawangan UMNO Labuan sudah bermesyuarat, antara cawangan - cawangan yang belum bermesyuarat cuma Kilan, Layang - Layangan, Ganggarak, dan Bukit Kallam. Sehingga kini, Puteri UMNO Labuan menyaksikan Ketuanya, Pn. Rahimah menang tanpa dicabar, Pemuda UMNO Labuan akan menyaksikan pertandingan antara Hj. Tony Noolan (Udin) dengan Mohd. Rafi, Wanita UMNO Labuan kini menunggu keputusan mesyuarat minggu ini dimana Puan Hjh. Aini mungkin akan dicabar Cik Hjh. Fauziah jika cukup pencalonan. Sementara itu, Dato` Suhaili sudah mendapat 18 pencalonan manakala pencabarnya, YB Datuk Yussof Mahal dengan 3 pencalonan. 

Tinjauan mendapati YB Datuk Yussof Mahal berkemungkinan akan dapat cukup pencalonan untuk mencabar Dato` Suhaili dalam pemilihan bahagian Oktober ini, dimana cawangan Kilan dan Layang - Layangan adalah antara kubu kuat beliau yang akan bermesyuarat minggu ini. Antara perkara - perkara menarik yang berlaku sekitar mesyuarat cawangan - cawangan UMNO di Labuan antaranya; adegan baling kerusi di Batu Manikar, isu pertikaman lidah antara tiga penyokong YB dengan ahli - ahli UMNO yang lain di cawangan Pantai, isu kertas daftar ahli hilang di Patau - Patau 1, isu pencalonan line-up tidak cukup korum di Bebuloh sehingga pencadang menarik balik cadangan, dan isu pemuda UMNO Lajau tidak dapat mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup korum.

Cawangan Durian Tunjung yang bermesyuarat minggu lepas juga digantung dan diarah bermesyuarat semula kerana tidak mematuhi garis panduan mesyuarat dalam perlembagaan UMNO (sumber Daily Express).

Cawangan - cawangan yang digantung kini menyaksikan ketua - ketua cawangannya keluar - masuk ke pejabat UMNO Bahagian untuk menentukan nasib cawangan - cawangan mereka.

Minggu ini merupakan minggu terakhir untuk cawangan - cawangan UMNO seluruh Malaysia untuk mengadakan mesyuarat tahunan mereka.

05 September 2008

Ramadhan Al-Mubarak

Ramadhan, bulan yang mulia tiba lagi. Labuan kini dipenuhi bazaar-bazaar Ramadhan. Antara tempat-tempat yang kerap dikunjungi adalah, bazaar ramadhan di bandar, bermula dari Sara Hotel hingga penghujung Wisma Perbadanan Labuan, Tanjung Aru, Lajau (kedai menjual kuih) dan bazaar depan Hotel Pulau Labuan. Dengan pilihan yang beraneka jenis, diharap penduduk Labuan berbelanja seadanya, janganlah diikut sangat nafsu. Tapi kalau belian untuk berbuka tu tak habis, boleh dihidang semula untuk sahur, tak lah membazir. Diharap perbanyakkan lah amal ibadat, terawih, membaca al-Quran dan sebagainya. Kurangkan politik, dan perkara-perkara yang membuang masa.