17 Disember 2010

Pengisytiharan Labuan Sebagai WP Tanpa Sebarang Pampasan

Petikan berita dibawah (Utusan Online, 17 Disember) mengundang minat saya untuk memberi sedikit ulasan.


Tiada pampasan Pulau Labuan jadi Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Penyerahan Pulau Labuan kepada Kerajaan Persekutuan yang dilakukan pada April 1984 untuk dijadikan Wilayah Persekutuan tidak melibatkan sebarang bayaran pampasan kepada Kerajaan Negeri Sabah.


Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, tiada syarat berkaitan perkara itu dinyatakan dalam terma perjanjian dan pengisytiharan Wilayah Persekutuan Labuan.


"Perkara itu telah dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara IV di dalam perjanjian berkenaan," katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Maijol Mahap di Dewan Negara hari ini.


Maijol ingin mengetahui sama ada kerajaan berhasrat untuk memberi pampasan kepada Kerajaan Negeri Sabah di atas pertukaran Pulau Labuan kepada Wilayah Persekutuan demi meyakinkan rakyat terutama di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bahawa kerajaan adalah telus, adil dan saksama.


Raja Nong Chik berkata, kewujudan Wilayah Persekutuan Labuan merupakan satu usaha positif ke arah mencapai matlamat integrasi nasional.


Selain itu, jelas beliau, ia juga bertujuan mencorak dan memesatkan lagi pembangunan di Pulau Labuan.


Wilayah Persekutuan Labuan sebelum ini ditubuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1984.



Kita menerima pembangunan yang agak banyak setelah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Sayangnya tidak ramai yang menghargainya, malah ada pula pihak yang mempolitikannya, seperti apa yang diperjuangkan parti SAPP mengenai usaha untuk mengembalikan Labuan ketangan Sabah.

Bayangkan jika kita masih lagi ditadbir dibawah kerajaan negeri Sabah, adakah kita akan berada ditahap seperti sekarang? Adakah akan wujud Ujana Kewangan? Adakah kita pasti Petronas Methanol akan membuka lojinya di Labuan dan bukan di Sepanggar atau Kimanis?

Memang banyak yang kita minta dari kerajaan persekutuan tidak ditunaikan, tapi adakah kita pasti permintaan tersebut akan ditunaikan jika kita berada dibawah kerajaan negeri? Adakah Sabah sanggup membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk membina jambatan menghubungkan kita ke tanah besar?

Berbanding Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita sebenarnya unik kerana walaupun ditadbir secara terus oleh persekutuan, namun hak-hak kita sebagai sebahagian dari Sabah masih dijamin, sekurang-kurangnya buat masa sekarang.

Tiada ulasan: